Friday, October 30, 2009
Sunday, June 7, 2009
Usaha Berterusan meruntuhkan Al-Aqsa
BAITULMAQDIS: Masjid al-Aqsa, rumah ibadat suci ketiga umat Islam berada dalam bahaya besar berikutan kerja penggalian berterusan yang dilakukan Israel di bawah Haram al-Sharif di Baitulmaqdis Timur. “Israel meneruskan kerja menggali dan mengorek betul-betul di bawah Haram al-Sharif menyebabkan kerosakan teruk kepada kestabilan tapak Masjid al-Aqsa,” kata pemimpin Pergerakan Islam di wilayah itu, Sheikh Raed Salah. Salah, yang mengawasi rapi kerja penggerudian Israel di Kota Lama Baitulmaqdis Timur selama lebih 25 tahun, berkata rejim Zionis itu langsung tidak mempedulikan bantahan negara Arab dan Islam berhubung bahaya yang dihadapi tanah suci Islam berikutan kerja itu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Israel dengan kerjasama kumpulan peneroka haram Yahudi berpengaruh, memulakan usaha menggali terowong di Kota Lama. Ia menyifatkan terowong itu ‘projek pelancong’ yang tidak memberi ancaman kepada kawasan suci Islam. Bagaimanapun, penduduk Palestin dan beberapa pertubuhan Israel termasuk Jawatankuasa Israel Menentang Pemusnahan Rumah, percaya matlamat utama penggalian terowong ialah untuk membuka laluan menyerang al-Aqsa dan kawasan suci Islam lain di kawasan itu.
Tahun lalu, seorang peguam Israel yang mewakili kumpulan antipenempatan, Ir Amin, mendedahkan peneroka yang dibantu kerajaan cuba mewujudkan ‘fakta tidak boleh diubah’ sebagai sebahagian usaha mengambil alih seluruh kawasan berkenaan. “Tidak ragu-ragu lagi tapak al-Aqsa semakin lemah disebabkan terowong itu dan kerja penggalian lain. Anda tidak perlu menjadi arkitek hebat untuk menyedari perkara itu. Kami mengesan lubang dan retakan di seluruh kawasan,” kata Salah.
Sebahagian halaman masjid suci itu runtuh tahun lalu disebabkan kerja penggalian di bawahnya. Runtuhan berlaku hampir dengan air pancut Qaitbay di bahagian barat masjid berkenaan. Salah berkata, beliau amat pasti Israel sebenarnya mahu memusnahkan al-Aqsa. “Mereka mahu melakukannya seolah-olah ia disebabkan masalah semula jadi, seperti gempa bumi. Bantahan lisan tidak menghentikan tindakan rejim Zionis itu daripada menghancurkan kawasan suci Islam terutama masjid al-Aqsa,” katanya. - Agensi
Friday, June 5, 2009
Hadiah Istimewa AS di Lembah Swat
Sejak 2 Mei lepas, Pakistan telah mengerahkan seramai 15,000 anggota tenteranya yang lengkap bersenjata bagi menggempur 4,000 pejuang Islam yang dicopnya sebagai ‘militan’ di Lembah Swat. Sebagaimana dilaporkan oleh media sehingga 24 Mei lepas, PBB telah memohon bajet sebanyak USD543 juta untuk membantu 2 juta orang awam yang menjadi pelarian perang, dengan korban di pihak ‘militia’ dilaporkan seramai 1,014 orang dan 92 orang dari tentera Pakistan. Bagaimanapun, wartawan perang tidak dibenarkan masuk ke tempat kejadian untuk mengesahkan jumlah sebenar.
Perang ini sebenarnya bukanlah perang antara tentera Pakistan melawan tentera Taliban, tetapi ianya merupakan perang proksi antara Amerika Syarikat (AS) dan Mujahideen Islam yang ingin dihapuskan oleh rejim Amerika di Aghanistan dan Pakistan. Insiden-insiden dalam negara Pakistan dijadikan pencetus untuk menjustifikasikan peperangan sesama Muslim, atas nama ‘Perang Melawan Pengganas’. Pihak berkuasa Pakistan yang merupakan tali barut Amerika menegaskan bahawa mereka akan terus berperang sebagai satu bentuk penghormatan atas kehendak Amerika sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Panglima Tentera Pakistan, Ashfaq Kiani. Demi untuk meraih ‘kemenangan’ rakyatnya, dia berkata, “Tentera akan menggunakan semua peralatan yang diperlukan untuk menjamin kemenangan yang nyata atas para pemberontak”. Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Yusuf Raza Gillani mengatakan, “Kerajaan telah memerintahkan tentera untuk melenyapkan para pengganas Muslim”.
Di Washington, telah diadakan pertemuan antara Presiden Amerika, Obama dengan kedua bonekanya iaitu Presiden Pakistan, Zardari dan Presiden Afghanistan, Karzai. Dari pertemuan itu dikeluarkan sebuah komitmen bersama yang menekankan bahawa, “Mereka bertekad untuk meningkatkan kerjasama untuk menghadapi ancaman Taliban dan kelompok militan di Pakistan dan Afghanistan”. Secara peribadi, Zardari berjanji kepada Obama dengan mengatakan bahawa, “Operasi militer terhadap Taliban akan berterusan sehingga situasi di Lembah Swat kembali normal”. Inilah perancangan jahat pemimpin umat Islam yang bersekongkol dengan AS untuk membunuh sesama Muslim di bawah restu dan telunjuk AS, di mana Barack Obama berhasil mencetuskan perang saudara di Pakistan. Pemerintahan Amerika secara terbuka menghasut kerajaan dan tentera Pakistan untuk memusuhi gerakan Taliban dan seterusnya mengarahkan mereka untuk menggunakan kekuatan ketenteraan di sana.
Dalam usaha berterusan untuk menyedarkan umat Islam, Hizbut Tahrir Pakistan telah menerbitkan risalah khusus dan menyebarkannya secara meluas di seluruh Pakistan baru-baru ini tentang usaha jahat AS yang dibantu oleh Presiden dan Perdana Menteri Pakistan yang khianat. Berikut adalah terjemahan risalah tersebut untuk tatapan kaum Muslimin di Malaysia yang cintakan Islam dan yang cintakan saudara-saudara kita di sana.
Hentikan Peperangan Tajaan Amerika Yang Menyebabkan Umat Islam Berperang Sesama Sendiri! Pada 8 Mei, Perdana Menteri, Yousuf Raza Gillani telah mengisytiharkan perang di Lembah Swat melalui siaran televisyen ke seluruh negara, di mana katanya, “Demi kesucian tanah ini dan maruah negara, untuk menghapuskan golongan pelampau, untuk memastikan perlindungan kepada rakyat, pasukan tentera telah pun dikerahkan”. Walau bagaimanapun, apa yang Perdana Menteri pertaruhkan bukanlah untuk memastikan maruah negara terus kekal mahupun memberi perlindungan kepada rakyat, sebaliknya ia adalah untuk mengekalkan maruah pasukan penjajah Amerika dan memastikan survival Amerika di bumi Afghanistan, yang semakin merudum. Adalah tidak mungkin untuk mengekalkan penguasaan ke atas Pakistan tanpa menghapuskan golongan Mujahideen, yang memerangi Amerika di Afghanistan. Meskipun pasukan pengecut Amerika dan NATO memiliki senjata terkini, mereka sesungguhnya takut untuk berhadapan walaupun dengan sekumpulan kecil pasukan Mujahideen yang serba kurang kelengkapan senjatanya. Tambahan pula, keadaan ekonomi Amerika kini secara berterusan mengalami kemelesetan meskipun pelbagai usaha telah dilakukan. Dalam masa yang sama di arena politik antara bangsa, Amerika telah kehilangan sokongan dari negara sekutunya dalam kempen penaklukan dan hegemoninya itu.
Negara-negara seperti China dan Rusia secara terbuka melahirkan kebimbangan mereka tentang kehadiran Amerika di rantau itu. Dalam situasi begini, Amerika tentunya tidak akan mampu memberi nafas baru kepada kegagalan kempen mereka di Afghanistan secara bersendirian. AS amat bergantung kepada tentera Pakistan untuk membantu mereka dari terus terjunam. AS menginginkan supaya tentera Pakistan berdiri di belakangnya dan secara sepenuh hati memberikan sokongan kepada peperangan penjajahan dan hegemoninya ini. Namun demikian AS mengetahui bahawa kaum Muslimin Pakistan memendam kebencian yang mendalam kepada mereka dan secara mutlaknya menolak kehadiran mereka di rantau itu. AS juga tidak berhasrat untuk menggerakkan tenteranya berperang atas nama ‘peperangan AS’. Tambahan pula, telah tersebar pandangan yang negatif di kalangan tentera Pakistan sendiri tentang peperangan AS. Semua perkara ini merupakan halangan dalam mendapatkan bantuan ketenteraan dari Pakistan. Oleh itu, adalah sesuatu yang amat perlu bagi AS untuk ‘mencipta’ suatu keadaan huru-hara dan ketakutan untuk membolehkannya memulakan operasi ketenteraan di Pakistan. Dari sudut lain pula, operasi ini juga memastikan bahawa Mujahideen yang berperang melawan Amerika di Afghanistan mengalihkan senjata mereka dari musuh sebenar, (yakni) Amerika, dan mengacukannya kepada saudara sesama Islam, (yakni) tentera Pakistan.
Dalam pada itu, operasi ketenteraan ini juga adalah untuk menutup fakta bahawa punca kepada kacau-bilau ini adalah disebabkan oleh penjajahan haram AS ke atas Afghanistan, yang disokong oleh kerajaan Pakistan. AS cuba menutup fakta bahawa kerajaan Pakistan bekerjasama penuh dengan mereka dengan menyediakan jalur-jalur laluan senjata, makanan dan logistik lainnya kepada tentera Amerika dan NATO. Pada masa yang sama AS juga dapat menutup fakta bahawa tentera Pakistan dikerahkan ke sempadan Pakistan-Afghanistan bagi menghalang sebarang cubaan serangan oleh Mujahideen Pakistan ke atas tentera AS. Inilah realiti operasi ketenteraan yang telah dimulakan oleh kerajaan Pakistan di kawasan kesukuan sehinggalah ke kawasan NWFP (Lembah Swat). Hasilnya, beribu-ribu orang hilang tempat tinggal, wanita-wanita Islam dibiarkan tanpa perlindungan, orang-orang tua dan kanak-kanak berada dalam ketakutan dan putus asa dan tidak terhitung lagi bilangan keluarga yang menderita. Rumah, pasar, sekolah dan kedai-kedai bertukar menjadi reruntuhan dan darah kaum Muslimin ditumpahkan tanpa henti. Kerajaan Pakistan bukan sahaja mengalihkan muncung senjata tentera Islam ke arah kaum Muslimin, bahkan dalam masa yang sama, begitu licik memulakan sandiwara memutarbelitkan cerita supaya pendapat umum berpihak kepada mereka. Belajar dari pengalaman Masjid Lal, kerajaan Pakistan telah mengatur langkah yang berhati-hati dalam rancangan jahatnya. Melalui kempen media massa yang terancang, mereka cuba untuk menguasai pendapat umum supaya setuju dengan operasi ketenteraan tersebut. Serangan di Akademi Polis Minawan dan video membelasah wanita digunakan untuk tujuan yang sama, iaitu menyediakan asas untuk operasi ketenteraan yang dirancang beberapa minggu sebelum itu supaya dapat dijadikan dalih untuk operasi ketenteraan ini.
Perdana Menteri Yousuf Raza Gillani membesar-besarkan berita bahawa orang-orang ini telah mencabar undang-undang (perintah) negara dan dalam beberapa keadaan, kerajaan sudah tidak ada pilihan lain kecuali menggunakan kekerasan. Kami ingin bertanya kepada pemerintah Pakistan, tidakkah tindakan Amerika juga mencabar undang-undang negara semasa mereka secara terbuka dan terang-terangan membunuh kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua di Waziristan dan Banu melalui serangan udaranya? Mengapa Perdana Menteri tidak muncul di media dan mengisytiharkan operasi ketenteraan terhadap serangan udara AS ini? Kenapa serangan udara AS ini tidak dikatakan mencabar undang-undang negara sebagaimana yang ditimbulkan pada kali ini, meskipun secara berterusan kerajaan mendapat kritikan demi kritikan (terhadap serangan udara tersebut)?
Apakah perancangan AS untuk memberikan beberapa keistimewaan kepada India dalam rantau ini tidak mencabar undang-undang negara? Sungguh, perancangan tersebut mengancam Pakistan, (namun) kenapa kerajaan Pakistan membantu untuk melaksanakan rancangan tersebut? Benar, kerajaan Pakistan telah menandatangani perjanjian transit perdagangan Pakistan-Aghanistan, di bawah seliaan Setiausaha Negara AS, Hilary Clinton di AS, sedangkan perjanjian perdagangan ini dari segi politik dan ekonomi hanya menguntungkan India sahaja. Berhubung dakwaan Perdana Menteri Gillani untuk menjaga kehormatan wanita di Lembah Swat sebagai justifikasi untuk operasi ketenteraannya, kenapakah Gillani tidak membela kehormatan anak perempuan umat, Dr Afia Siddique, yang dipenjarakan di AS sementara anak-anaknya masih hilang? Jadi, kenapa kerajaan yang ‘prihatin’ ini tidak pernah bercakap sepatah pun tentang Afia Siddique dalam pertemuannya beberapa kali dengan AS? Wahai Umat Islam Pakistan! Sesungguhnya pemerintah kalian adalah pembohong dan pengkhianat kepada Islam dan umatnya. Mereka hanya setia menjaga kesinambungan hidup mereka dengan memuaskan kepentingan penjajah kuffar. Pemerintah ini sekarang sedang mengacukan permusuhan dan pembunuhan sesama Muslim untuk menjaga AS, meskipun Allah SWT berfirman, “Barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah Jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya.” [TMQ Al-Nisa’ (4):93] Rasulullah SAW bersabda, “Mencela orang Islam itu kefasiqan dan memeranginya adalah kekufuran” [HR Bukhari I/84, Muslim I/202]. Dalam sabda Baginda yang lain, “Jika dua orang Muslim saling berhadapan dengan dua pedangnya maka si pembunuh dan yang terbunuh di dalam neraka. Maka kami bertanya Wahai Rasulullah, ‘Ini si pembunuh (kami faham), kenapa pula dengan yang terbunuh? Rasulullah menjawab, sesungguhnya dia juga berkeinginan membunuh sahabatnya.” [HR Bukhari I/154] Pemimpin-pemimpin jahat ini begitu kuat memicu konflik sesama Muslim, demi Amerika. AS sebelumnya telah melakukan taktik yang sama di Iraq, yang mana AS cuba memperkuatkan dirinya dengan menyalakan konflik Sunni-Syiah. Semoga Allah mengazab pemimpin-pemimpin ini, yang sanggup menghina diri mereka sendiri untuk menyenangkan kaum kuffar.
Sesungguhnya, realiti pemimpin semacam ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW di mana Baginda bersabda, “Sesungguhnya akan ada selepasku pemimpin-pemimpin yang, barangsiapa membenarkan pembohongan mereka dan membantu mereka atas kezaliman mereka, maka bukanlah dia dariku dan aku bukan darinya, dan bukanlah dia orang yang dapat menemuiku di telaga Al-Haudh. Barangsiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu mereka atas kezaliman mereka, maka dia adalah dariku dan aku darinya, dan dia akan dapat menemuiku di telaga Al-Haudh.” [Al-Nasaei XIII/117] Sesungguhnya pemimpin ini tidak pernah merasa meluat bila bertemu dengan pegawai AS yang sering dijuluki sebagai orang-orang yang beradab (bertamadun), yang mana (orang-orang ‘beradab’ inilah yang) menyeksa kaum Muslimin di Teluk Guantanamo dan Abu Gharib dengan penyeksaan kejam yang mana Firaun sendiri tidak melakukannya. Dalam sel penyeksaan AS, lelaki dan wanita Muslim ditindih sesama mereka, Al-Quran dihina, muka-muka kaum Muslimin dimasukkan ke lubang tandas dan kaum Muslimin dikenakan renjatan elektrik. Meskipun demikian, di mata pemerintah hari ini AS masih tetap mencerminkan puncak peradaban. Mereka akan merasa mulia dan bangga bila ada peluang untuk bertemu dengan AS, seraya menampakkan kebencian dan kedengkian terhadap Islam, hukum-hukum dan sistem uqubatnya.
Wahai kaum Muslimin Pakistan! Bagaimana mungkin kalian masih lagi berdiam diri sedangkan anak-anak lelaki kalian yang berada di dalam tentera diarahkan untuk mengebom dan menyerang saudara mereka sesama Muslim? Tidakkah kalian merasa sedih dan mengalirkan air mata darah tatkala melihat pemerintah kalian menggerakkan tentera kalian sendiri untuk menghancurkan seluruh kaum Muslimin di rantau ini di bawah dominasi musuh sebenar mereka, AS? Bangunlah dan bersamalah menghentikan operasi ketenteraan ini. Allah SWT telah memerintahkan kalian untuk melawan kezaliman dan pengkhianatan oleh pemimpin-pemimpin ini dan Rasulullah SAW telah bersabda, “Sekali-kali tidak, demi Allah, kamu (hendaklah) melakukan amar makruf nahi mungkar, dan hendaklah kamu menahan tangan orang yang membuat kezaliman dan menarik mereka ke arah kebenaran dan menjaga mereka atas kebenaran, jika tidak Allah akan melaga-lagakan hati-hati sesama kamu, kemudian Dia akan melaknat kamu sebagaimana dilaknatnya mereka itu (Bani Israel).” [Abu Daud XI/412]
Wahai ulama Pakistan! Kalian telah bersikap berbelah bahagi semasa pembantaian di Masjid Merah (Lal) dan Musharraf berjaya menumpahkan darah wanita Muslim dan kanak-kanak dalam masjid dan sekolah di ibu kota Pakistan. Kesakitan dari pembantaian tersebut masih lagi tidak hilang dari hati kaum Muslimin Pakistan. Hari ini, pemimpin-pemimpin ‘demokratik’ ini sedang berusaha mengubah Lembah Swat menjadi Masjid Merah demi tuan mereka, AS. Jadi kenapakah kalian sekarang masih tidak bangkit dan menghentikan pemimpin-pemimpin ini dari kempen jahat mereka? Bangkit dan gerakkanlah semua pelajar-pelajar kalian dan marilah kita berarak ke istana pemimpin-pemimpin ini, sebelum AS menghancurkan semua masjid dan sekolah dari Afghanistan dan kawasan-kawasan persukuan. Wahai parti-parti politik Pakistan! Kalian mendakwa bahawa kalian menjaga urusan kaum Muslimin di Pakistan. Kalian menyaksikan bagaimana kaum Muslimin diarahkan untuk memerangi saudara-saudaranya sendiri demi AS.
Justeru, apakah ada di kalangan kalian orang yang ikhlas yang akan tampil untuk memuhasah pemerintah selayaknya dan menahan tangan-tangan pemerintah ini? Jika kalian tidak melakukan demikian, apakah kalian mahu bahawa Allah menempatkan kalian bersama dengan golongan pemerintah yang zalim itu di hari Kiamat nanti? Rasulullah SAW bersabda, “Allah tidak mengazab masyarakat dengan sebab perbuatan orang tertentu, sehinggalah mereka melihat kemungkaran di antara mereka dan mampu untuk mengubahnya, tetapi mereka tidak merubahnya, jika mereka melakukan demikian (tidak merubah kemungkaran walhal mampu) maka Allah akan mengazab orang itu dan masyarakat secara umum.” [Musnad Ahmad]
Wahai putera-putera Angkatan Tentera! Tidakkah kalian mencita-citakan untuk darah kalian tumpah dengan suci fi sabilillah demi meletakkan agama Allah di tempat tertinggi, daripada mempertahankan hegemoni Amerika ke atas kalian? Sampai bilakah kalian akan membiarkan pemerintah menjadikan kalian sebagai ‘bahan bakar’ untuk peperangan AS menentang Islam? Buanglah pemerintah ini dan berilah nusrah (pertolongan) kepada umat islam demi menegakkan semula Khilafah yang akan membebaskan kalian dari debu-debu kehinaan dan keaiban serta merubah kalian menjadi tentera-tentera Allah yang beriman yang akan menyebarkan cahaya Islam ke seluruh penjuru alam.
Sunday, May 24, 2009
INFO: Muslim Sri Lanka
Mewakili tiga etnik iaitu Moors yang berketurunan pedagang Arab, kumpulan etnik Jawa dan Melayu yang berasal dari Indonesia dan Malaysia serta India Muslim. Setiap kumpulan itu mempunyai sejarah dan tradisi masing-masing. Masyarakat Moor adalah asalnya pedagang Arab yang yang datang pada abad kelapan dan berkahwin dengan wanita tempatan, sambil menyebarkan Islam. Mereka mewakili kumpulan majoriti penduduk Muslim Sri Lanka. Ketika penjajahan Belanda dan Inggeris, ramai penduduk Kepulauan Jawa dan Melayu dari Malaysia dihantar ke Sri Lanka dan penduduk kumpulan etnik ini mencecah kira-kira 50,000 orang ketika ini. Kumpulan lain Muslim berasal dari India dan Pakistan yang datang mencari peluang pekerjaan. Sebahagian besar berasal dari Tamil Nadu dan Kerala di selatan India.
LTTE Memusuhi ISLAM
KEMENANGAN tentera Sri Lanka mengalahkan kumpulan gerila Harimau Tamil Eelam (LTTE) Ahad lalu, tidak hanya menamatkan perang saudara yang berlanjutan lebih 25 tahun lamanya, tetapi turut mengakhiri trauma dan kesengsaraan penduduk Muslimnya. Apa tidaknya, bumi kecil yang dihuni 20 juta penduduk dengan etnik Sinhala kumpulan majoriti sebanyak 74 peratus, Tamil (18 peratus) dan Muslim (8 peratus), perang saudara itu sebenarnya tidak hanya menyaksikan pertikaian antara kerajaan dengan LTTE atau penduduk Sinhala dengan Tamil, tetapi turut sama mengheret penduduk Muslimnya.
Malangnya, derita dan kesengsaraan kira-kira 1.5 juta penduduk Muslim yang sebahagian besar bertumpu di wilayah utara dan timur yang juga kawasan konflik, serta di selatan, tidak diketahui ramai. Ketika media tempatan dan antarabangsa lebih banyak menghebahkan laporan dan gambar penduduk Tamil dan Sinhala menjadi pelarian dengan wajah sugul berjalan membawa beg atau sehelai sepinggang akibat konflik itu, sebaliknya tidak banyak kelibat penduduk Muslim dipaparkan sebagai subjek utama. Jika masyarakat dunia masih belum dapat melupakan wajah mayat pemimpin LTTE, Vellupillai Prabhakaran yang mati dalam serangan beberapa hari lalu, hakikatnya tidak ramai yang mungkin dapat mengingati atau pun tahu mengenai ribuan jenazah penduduk Muslim yang terbujur kaku di dalam rumah, masjid, sekolah serta di kaki lima akibat kekejaman LTTE yang berlaku hampir sepanjang tahun.
Hakikatnya, LTTE bukan sekadar kumpulan pemisah biasa, sebaliknya berstatus kumpulan pemberontak profesional, mempunyai kerajaan dan bala tenteranya sendiri termasuk pasukan penyerang bunuh diri menggunakan lilitan bom. Ia turut menjadi kumpulan militan pertama menggunakan wanita dalam serangan mereka, selain dikenali kerana tindakan ‘gila’ pengikutnya yang memakai rantai kapsul racun sianida bagi membolehkan mereka membunuh diri serta-merta jika tertangkap. Tidak hairanlah ia mampu melancarkan lebih 200 serangan bunuh diri dan mencetuskan perang saudara yang meragut lebih 70,000 nyawa. Operasi kejamnya turut melangkaui bumi Sri Lanka dan dikaitkan dengan pembunuhan bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 1991. Namun, mangsa sebenar dan berterusan kekejaman LTTE itu adalah penduduk Muslim yang disifatkan sebahagian usaha pembersihan etnik penduduk Islam di Sri Lanka. Kebencian yang bukan saja disebabkan perbezaan etnik dan agama, tetapi faktor perebutan wilayah di timur dan utara negara itu yang juga menjadi kubu kuat kumpulan gerila berkenaan sebelum ini.
Dari segi ekonomi, penduduk Muslim jauh lebih berjaya berbanding masyarakat Tamil, manakala aspek politik pula menyaksikan parti politik Muslim memegang status sebagai ‘broker’ kuasa dan penentu kerajaan yang memerintah Sri Lanka. Ini disebabkan biarpun minoriti, tetapi pecahan kerusi dimenangi parti Muslim berperanan sebagai penentu penguasaan parti politik utama di Parlimen. Kejayaan dan kelebihan itulah yang disifatkan penganalisis sebagai ramuan yang menyebabkan kebencian LTTE terhadap Muslim meluap-luap. Kemuncak kekejaman LTTE terhadap penduduk Muslim ketara pada 1990-1991 dan terbukti berterusan hingga Mac lalu. Tarikh 30 Oktober 1990 disifatkan detik hitam bagi masyarakat Muslim, apabila LTTE yang menguasai wilayah di utara, iaitu Semenanjung Jaffna, memberi kata dua kepada penduduk Muslim di situ - keluar dari kawasan itu atau dibunuh. Lebih kejam lagi, arahan itu perlu dipatuhi dalam masa 24 hingga 48 jam, seperti dilaporkan media antarabangsa. Namun hakikatnya, hampir 90,000 penduduk Muslim diusir dalam masa dua jam!
Malah kejadian itu disifatkan penganalisis tempatan, AJC Mohideen, sebagai pembersihan etnik paling cepat dalam sejarah moden dunia kerana penduduk Muslim diusir dalam masa dua jam hanya atas alasan wilayah itu adalah tanah tumpah dan milik masyarakat Tamil. Penulis sendiri yang pernah mengunjungi beberapa wilayah Sri Lanka, beberapa tahun lalu dalam lawatan anjuran kerajaan negara itu bagi melihat proses damai, berkesempatan menyelami perasaan hiba segelintir penduduk Muslim di Jaffna yang mengakui tempoh dua jam itu ibarat neraka dunia bagi mereka apabila dipaksa meninggalkan harta benda sambil kepala diacukan senjata api dan parang oleh anggota LTTE.
Imam Masjid Jamek Jaffna ketika itu, Abdullah Marlim, turut menitiskan air mata menceritakan bagaimana ramai keluarga Muslim terpisah, anak kecil menjadi yatim piatu dan wanita menjadi balu serta janda dalam sekelip mata. “Masyarakat Islam dan Tamil dapat hidup aman damai di Jaffna sebelum ini. Tetapi kekejaman LTTE menghancurkan segala-galanya, keluarga porak peranda dan terpisah, masjid dimusnahkan dan harta benda kami dirampas. “Selain sehelai sepinggang, kami cuma dibenarkan membawa kira-kira 75 rupee (RM3). Kami diberi kata dua - keluar atau dibunuh. Dengan berat hati, kami melangkah keluar untuk bergelar pelarian di tanah air sendiri,” katanya. Selepas keadaan diberitakan selamat, beliau dan beberapa penduduk Muslim memberanikan diri kembali ke Jaffna beberapa bulan kemudian, tetapi disambut pandangan yang memilukan. Hanya satu daripada 13 masjid dapat digunakan akibat bedilan bom tentera LTTE dan daripada kira-kira 100,000 penduduk Muslim di Jaffna, jumlahnya cuma mencecah lebih 1,000 orang manakala lebih 50,000 masyarakat Muslim yang tidak berani kembali, terus mendiami kem pelarian sehingga ke hari ini. Terbukti kekejaman itu tidak terhenti apabila sebulan selepas itu, LTTE meneruskan kekejaman melancarkan serangan di sebuah masjid di Kathankudy. Seramai 172 Muslim yang khusyuk bersolat ketika itu, maut serta merta. Gambar pembunuhan kejam itu dengan mayat, termasuk budak lelaki yang masih lengkap mengenakan kopiah serta sejadah dipenuhi darah, bergelimpangan kaku dan terpampang di dada akhbar antarabangsa. Seperti lazimnya, reaksi masyarakat dunia hanyalah dalam bentuk kecaman yang diibaratkan ‘angin lalu’ tanpa meninggalkan kesan atau menghentikan kekejaman LTTE yang terus mengganas membunuh penduduk Muslim di kawasan jajahan mereka.
Pada 10 Mac lalu, LTTE yang tidak cukup menjadikan masjid di utara dan timur Sri Lanka sebagai sasaran utama, bertindak menyerang perarakan sempena Maulidur Rasul di Akuressa, di kawasan selatan, yang meragut 15 nyawa. Jurugambar sempat merakam peristiwa tragik dan mengerikan itu apabila barisan penduduk Muslim, berpakaian serba putih, berlatar belakang percikan letupan bom di belakang mereka. Dalangnya sudah semestinya pihak LTTE dan hanya dua perkataan yang layak menggambarkan tindakan tidak berperikemanusiaan itu - kejam dan zalim. Kini selepas tumpasnya LTTE dan kematian Prabhakaran, mungkin ada yang menganggap doa masyarakat Muslim yang selama ini sengsara, sudah pun terjawab. Namun apakah ini menjadi titik noktah kepada kesengsaraan penduduk Muslim ini?
Apakah ada sinar bahagia bagi mereka dengan diberikan hak sepatutnya untuk hidup sama sama seperti bangsa Sinhala di Sri Lanka? Apa yang pasti, setakat ini, sebahagian besar penduduk Muslim yang miskin ini masih bergelar pelarian dan hanya masa menentukan sama ada mereka dapat kembali ke rumah masing-masing dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Apakah mungkin peranan mereka sebagai penyumbang ekonomi dan penentu kuasa politik, mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada kerajaan pimpinan Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapakse. Namun lebih penting, masyarakat serta pertubuhan Islam antarabangsa perlu sama-sama menjadi pihak pemantau bagi memastikan penduduk Muslim Sri Lanka tidak lagi menjadi mangsa di tanah air sendiri selepas berkuburnya LTTE.
Wednesday, May 13, 2009
Dunia Sebagai Medan Ujian
Artikel ni diolah ketika mana wartawan sedang menjaga dewan peperiksaan. Dalam Suasana peperiksaan, para pelajar amat fokus dan tekun di dalam ‘memuntahkan’ semula apa yang telah mereka pelajari. Dengan satu tujuan,.. Mencapai kecemerlangan atau sekurang-kurangnya lulus dalan peperiksaan.
Begitulah sebenarnya andai boleh dibandingkan dengan kehidupan ini. Dunia adalah medan ujian bagi manusia sebelum menghadapi kehidupan yang sebenar di akhirat kelak. Apabila berbicara mengenai kehidupan wartawan akan bertanya kepada pembaca, ” Berapa kalikah kita hidup” dan jawapan yang selalu kita dengar, ” Kita hidup hanya sekali” . Inilah yang selalu disebut: “Enjoylah beb… hidup hanya sekali”
Memahami hidup hanya sekali merupakan asas kesesatan umat hari ini. Kehidupan selepas mati sudah tidak ada di dalam ruang minda manusia ini. Inilah minda jahiliyyah yang bertanya kepada nabi s.a.w.: ” Apakah apabila manusia mati dan sudah menjadi tulang belulang masih boleh dibangkitkan?” Mereka menganggap kehidupan hanyalah kehidupan di dunia. Kepercayaan sesat ini pula bertunjangkan kepada ketidakyakinan kepada Allah sebagai al-Rab, al-Malik dan al- Ilah. Tidak yakin kepada Allah kerana tidak percaya kepada al-Quran . Tidak beriman dengan kitab al-Quran kerana tidak percaya kepada nabi Muhammad s.a.w. Tidak percaya kepada nabi s.a.w. ialah keranana kejahilah disebabkan kurang ilmu atau memiliki ilmu yang salah dan wujud salah faham terhadap nabi Muhmmad s.a.w.
Kehidupan yang sebenar ialah kehidupan Akhirat. Inilah yang disampaikan kepada kita oleh nabi Muhammad s.a.w. yang terdapat di dalam al-Quran yang merupakan bicara Allah, Pencipta Alam ini, Pemilik Mutlaknya, Pengatur semua undang-undang dan sistem dan Ilah yang wajib disembah, ditaati dan dikasihi. Dunia adalah sebuah perhentian dalam perjalanan menuju akhirat Dunia adalah tempat manusia diuji dan akhirat tempat perhitungan dan pembalasan Dunia negeri beramal dan akhirat negeri menerima balasan Dunia tempat berjihad dan bersusah payah manakala akhirat tempat istirehat bagi manusia yang beriman dan lulus ujian Allah.
Manusia diturunkan kedunia memikul amanah, memikul tanggungjawab, membawa misi Allah dan akan dimatikan seterusnya dikembalikan kepda Allah untuk diberi pembalasan. Dunia adalah tempat perjuangan, melawan nafsu, melawan iblis, melawan tarikan dunia, melawan fitnah kuffar dan bersabar terhadap hasad dengki orang-orang fasik. Ujian bermula sejak di alam nutfah, berjuta-juta benih sudah mati sebelum berjaya menembusi sebutir telur untuk memulakan sebuah kehidupan. Kehidupan di alam rahim memberi bebanan, keperitan, kesengsaraan hidup seorang ibu yang bakal melahirkan seorang khalifah adalah satu kepayahan, kepayahan hidup diusia bayi, karenah zaman kanak-kanak, zaman remaja dan ujian tanggungjawan diusia remaja, meniti umur di usia tua dan kembali kepada Allah membawa dosa membawa reda. Ibu bapa yang berjaya menyediakan bayi-bayi ini untuk memikul bebenanan khalifah telah dijamin oleh Rasulullah s.a.w. sebagai ahli syurga. Itulah erti kehidupan ini ; ia hanya medan ujian Allah untuk memilih ahli syurga atau neraka.
Kehidupan ini penuh misteri, kejahilan, kegelapan, kezaliman hingga pada diri sendiri tetapi Allah yang mencipta kehidupan ini telah mengajar ilmu, menerangi hidup dengan cahaya hidayah. mehapuskan kezaliman dengan mengajar hakikat Tauhid kepda Allah dan menceritakan hakikat kehidupan sebenar.. Namun hingga kini masih ramai manusia masih kabur, gelap, tidak mengerti, tidak memahami, tidak tersedar, terlena, terleka, diheret taufan nafsu, ditipu fatamorgana dunia dan merasa cukup beramal untuk diri sendiri…
Monday, May 11, 2009
Bagaimana Mencintai Rasulullah saw
Berikut adalah teks kuliah maghrib wartawan kat sekolah;
Mencintai Nabi Muhammad s.a.w itu adalah satu prinsip agama yang sangat penting. Seseorang tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya)…” (Surah al-Taubah: 24)
Rasulullah s.a.w berhak meraih cinta itu kerana Baginda makhluk paling mulia di sisi Allah, memiliki akhlak yang luhur, mengasihi umatnya, memberi petunjuk dan menyelamatkan umatnya dari neraka, malah menjadi rahmat kepada seluruh alam. Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w memiliki ciri tertentu. Berikut adalah tanda yang membuktikan perasaan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w:
Mentauhidkan Allah - Hikmah utama diutusnya rasul termasuk Nabi Muhammad s.a.w adalah untuk menyeru manusia kembali kepada tauhid yang murni dan menentang syirik. “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi Taghut.” (Surah al-Nahl: 36)
Maksud mentauhidkan Allah ialah beribadat hanya kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu. Mempelajari al-Quran, memahaminya, mengamalnya dan menyebarkan ajarannya - Mukjizat yang paling utama bagi Rasulullah s.a.w ialah al-Quran al-Karim, iaitu aset utama baginya dalam menyebarkan Islam. Ibnu Mas’ud berkata: “Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya, kecuali al-Quran. Apabila dia mencintai al-Quran, maka dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.” (Huquq al-Nabi)
Mentaati sunnah Nabi s.a.w - Satu lagi tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi s.a.w ialah dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya. Ini kerana Allah memberi jaminan yang Baginda adalah insan terbaik untuk dijadikan contoh ikutan bagi umat manusia. “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu…” (Surah al-Ahzab: 21)
Menyebarkan sunnah Nabi s.a.w - Sabda Baginda s.a.w, maksudnya: “Kamu semua hendaklah sampaikan apa yang diambil daripadaku walau satu ayat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Sentiasa memuji dan mengingatinya - Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w, seharusnya baginda sentiasa berada di hati kita. Kita juga sepatutnya memuji Nabi s.a.w dengan pujian yang selayak baginya. Pujian yang paling utama adalah dengan berselawat kepadanya dengan selawat yang terdapat dalam hadis yang sabit daripada Baginda. Mencintai mereka yang dicintai oleh Nabi s.a.w - “Janganlah kamu semua mencaci salah seorang sahabatku. Ini kerana, sekiranya salah seorang di kalangan kamu menafkahkan emas sebesar gunung Uhud, semua itu tidak mampu menyamai satu mud (yang diinfakkan) salah seorang antara mereka malah tidak mencapai separuh.” (Hadis riwayat Muslim)
Benci orang dibenci Nabi s.a.w - Hendaklah kita membenci dan menjauhkan diri dari mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya seperti golongan yang kufur kepada agama Allah dan mereka yang bergelumang dengan perbuatan bertentangan syarak. Membela Nabi s.a.w dari serangan golongan munafik - “Sesiapa yang membela kami dari gangguan orang-orang musyrik dia akan mendapat balasan syurga atau menjadi temanku di syurga.” (Hadis riwayat Muslim)
Saturday, September 20, 2008
Ramadan dan Perjuangan Umat Islam Silam
DALAM menjalani ibadat puasa Ramadan, marilah kita merenung peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada bulan mulia ini.
Ramadan yang dianugerahkan Allah dengan pelbagai keberkatan dan ganjaran ini, turut menyaksikan pelbagai peristiwa berlaku kepada diri dan keluarga Nabi Muhammad serta masyarakat Islam untuk dijadikan iktibar.
Peristiwa itu membawa pengertian besar kepada umat Islam, terutama membabitkan peperangan yang membuktikan betapa teguhnya keimanan umat Islam terdahulu dalam menegakkan agama suci ini. Ia membawa pengajaran besar bahawa dalam melaksanakan ibadat puasa, umat Islam perlu tabah mengharungi apa saja cabaran.
Puasa bukan bulan untuk berehat-rehat, bersenang-senang atau lalai melaksanakan kewajipan sebagai umat Islam. Umat Islam diingatkan sentiasa berwaspada menghadapi ancaman musuh. Selain itu, Ramadan menyaksikan peristiwa duka kepada Rasulullah. Dalam menghadapi peristiwa itu, Baginda tabah sehingga tidak menjejaskan ibadat puasa.
Antara peristiwa berlaku pada Ramadan ialah ‘Ammul Hazan’ atau ‘tahun kedukaan’ iaitu pada Ramadan tahun ke-10 daripada kerasulan Nabi Muhammad. Bulan mulia itu menyaksikan kewafatan bapa saudara Baginda, Abu Talib, dan Ummul Mukminin Khadijah Khualid.
Pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah pula, untuk kali pertama, berlaku peperangan Badar al-Kubra antara kaum Muslimin dengan Musyrikin.
Mengikut keterangan Ibn Hisyam, Rasulullah bersama pejuang Islam berangkat dari Madinah menuju ke Badar pada 8 Ramadan dan pada 17 Ramadan berlaku peperangan Badar al-Kubra. Perang itu menjadi titik awal kebangkitan kaum Muslimin ke atas kekuatan Musyrikin dan kesesatannya. Pertempuran itu berlaku di sebuah lembah dekat kota Madinah, iaitu di Badr. Kaum Muslimin ketika itu hanya mempunyai kekuatan 300 orang dengan setiap dua orang menaiki seekor unta, berbanding dengan kekuatan golongan kafir kira-kira 1,000 orang dengan perincian 700 orang menaiki unta dan lebih 100 lagi anggota pasukan berkuda.
Ini bererti seorang Muslim berdepan dengan tiga orang musuh. Atas kekuasaan dan pertolongan Allah, peperangan itu dimenangi oleh golongan Muslimin.
Pada tahun kedua Ramadan itu juga diwajibkan zakat fitrah.
Bulan Ramadan pada tahun kelima Hijrah pula adalah bulan persediaan tentera Muslimin menghadapi peperangan Khandak, salah satu peperangan terbesar pada zaman Rasulullah. Ia berlaku pada Syawal berikutnya dengan kemenangan tentera Muslimin.
Peristiwa meruntuhkan berhala Musyrikin terbesar dan termasyhur di sekitar kota Makkah oleh angkatan Islam turut berlaku pada Ramadan tahun ketujuh Hijrah.
Pasukan tentera pimpinan Khalid ibni Walid menghancurkan patung ‘Uzza, Umar ibnu ‘Asy pula meruntuhkan patung Siswa’ dan pasukan Saad ibni Zaid al-Asyahily memusnahkan patung Mana.
Pada 21 Ramadan tahun kelapan Hijrah, Allah memberikan nikmat kepada rasul-Nya dan kaum Muslimin dengan kejayaan membuka kota Makkah. Pembebasan kota Makkah oleh golongan Muslimin menandakan satu era baru dalam Islam, selepas kaum Muslimin diseksa dan ditindas, bahkan yang terakhir dikepung oleh pasukan tentera Ahzab (sekutu) selama berminggu-minggu di Madinah.
Malahan, Rasulullah menyifatkan pembebasan Makkah itu begitu penting, melalui sabda Baginda, yang bermaksud: “Kaum Quraisy tidak akan berani lagi mendatangi (menyerang) kamu selepas tahun ini, lenyap musnah kekuatan mereka, dan mereka tidak akan memerangi kita selepas hari ini dan sekarang giliran kita akan memerangi mereka, insya-Allah.”
Nabi Muhammad menghantar Ali Abi Talib dan angkatan kaum Muslimin ke negeri Yaman pada Ramadan tahun ke-10 Hijrah dan membawa bersama surat Baginda kepada penduduk di situ.
Dalam satu hari saja, penduduk Yaman khususnya kabilah Hamdan memeluk Islam dan bersembahyang jemaah dengan Ali.
Siti Fatimah, puteri Baginda yang juga isteri kepada Saidina Ali Abi Talib dan ibu kepada Hassan dan Hussain, wafat pada Ramadan tahun ke-11 Hijrah.
Ramadan tahun ke-11 Hijrah turut menyaksikan orang Musyrikin yang tewas dalam peperangan Badar membuat persiapan untuk menuntut kembali kekalahan mereka. Beberapa kabilah mereka bersatu pada bulan itu dan pada 7 Syawal berikutnya, tercetus peperangan Uhud.
Pada Ramadan yang sama, utusan kerajaan Hummir menemui Nabi Muhammad dan memaklumkan mengenai keislaman kerajaan itu. Baginda menyambutnya dengan penuh hormat.
Rasulullah menyerahkan kepada satu catatan dan garis panduan mengenai hukum, hak dan kewajipan serta dasar daripada sejarah kemajuan dan perkembangan Islam kepada utusan itu.
Satu lagi peperangan berlaku pada Ramadan tahun ke-15 Hijrah. Dalam peperangan Qadisiah itu, orang Islam mendapat kemenangan daripada kerajaan Parsi. Kejayaan itu memberi erti cukup besar dan membolehkan bendera kedaulatan Islam berkibar di Parsi.
Tentera Islam pimpinan Umar ibnu Asy menyerang balas serangan tentera Mesir yang menyerang tentera Islam ketika bersembahyang Jumaat pada Ramadan tahun ke-19 Hijrah dan menang.
Khalifah keempat Khulafur-Rasyidin, Ali Abi Talib, ditikam curi ketika keluar dari rumahnya untuk berjamaah solat Subuh pada 15 Ramadan tahun ke-40 Hijrah dan wafat dua hari kemudian.
Pada Ramadan juga, dalam tahun ke-91 Hijrah, kaum Muslimin di bawah pimpinan Thariq bin Ziad, berjaya membuka Andalusia (Sepanyol). Peristiwa yang dikenali sebagai “Futuh Andalusia” ini begitu menyemarakkan semangat perluasan empayar Islam apabila Thariq dan tentera Muslimin, berjaya menyeberangi selat di antara Afrika dan Eropah atas perintah Musa bin Nushair penguasa Islam ketika itu.
Setelah tentera Islam menyeberangi selat berkenaan, Thariq memerintahkan agar semua kapal perang Islam dibakar, sambil berpidato dengan penuh semangat bagi merangsang jiwa angkatan Islam : “Musuh di depan kamu. Apabila kamu mundur, lautan di belakang kamu. Pilihlah yang mana lebih tinggi kehormatannya, berjuang di jalan Allah atau mati ditelan lautan.”
Ucapan Thariq membakar semangat tentera Muslimin untuk berjuang bermati-matian kerana yang ada di depan hanyalah berjuang sekuat tenaga dan mengharap pertolongan Allah. Semangat ini berjaya membolehkan satu demi satu kota musuh jatuh ke tangan kaum Muslimin dan akhirnya, Andalusia berjaya ditakluki tentera Muslimin pada Ramadan.
Sejak itu, Andalusia menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan mercu peradaban manusia yang tersohor pada zamannya, sehinggakan kemajuan teknologi yang dimiliki Eropah sekarang adalah warisan teknologi umat Islam masa silam.
Pada 584 Hijrah, Salahuddin Al-Ayyubi mengalahkan tentera Salib dan membebaskan sebahagian besar negeri yang pernah dikuasai oleh pihak Salib (Kristian).
Ketika tiba Ramadan, penasihat Salahuddin menyarankan beliau berehat kerana bimbang ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab: “Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam.” Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan Ramadan.
Pada 658 Hijrah, Kerajaan Mamalik mengalahkan dan menyekat kemaraan tentera Tartar Mongol di ‘Ain Jalut.
Peperangan ini berikutan jatuhnya Daulah Abbasiyyah, kota Baghdad yang ketika itu menjadi pusat perkembangan ilmu oleh tentera Tartar. Buku perpustakaan di Baghdad ditenggelamkan di Sungai Tigris untuk dijadikan jambatan. Dalam sejarah digambarkan betapa air Sungai Tigris ketika itu berwarna kehitam-hitaman kerana terlalu banyak dakwat larut. Demikianlah berakhirnya sebuah peradaban moden Islam di Baghdad.
Umat Islam tidak berdiam diri membiarkan orang kafir merobekkan kemuliaan Islam. Penguasa Mesir ketika itu Saifuddin Quths menggerakkan pasukan Islam menuju ke Syam untuk menghalang tentera Mongol. Dua pasukan itu akhirnya bertemu di tempat bernama ‘Ain Jalut (di Palestin). Sejarah mencatatkan pasukan Tartar ditumpaskan kaum Muslim di ‘Ain Jalut.
Selain itu, daerah Ghaal di Peranchis atau kini Pays des Gualles, juga ditakluki Islam ketika Ramadan.
Justeru, dalam kita meraikan ketibaan Ramadan, marilah kita sama-sama menghayati sejarah kegemilangan tamadun Islam, kekuatan tentera Islam berperang dalam keadaan berpuasa, tanpa sedikit pun melunturkan iman mereka.
Ramadan seharusnya menjadi titik tolak untuk kita bertambah kuat dan bersatu mempertahankan agama Islam kerana daripada sejarah, banyak kegemilangan Islam dicatatkan dalam bulan ini.
Pada Ramadan ini, selain menambah amal ibadat, umat Islam juga perlu berusaha dan bertekad untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam suatu ketika dulu. Mudah-mudahan pada Ramadan ini, umat Islam diberikan kekuatan dan keredaan Allah untuk menghadapi segala cabaran bagi mempertahan dan menjulang nama Islam di persada dunia.
Wednesday, July 23, 2008
Pemimpin Islam Terus Masuk Perangkap kuffar
| Selasa, 22 Julai 2008 17:23 |
|
|
Sekali lagi pemimpin umat Islam masuk perangkap kuffar. Mereka akan melaungkan satu idea yang sememangnya datang dari Barat dan bercanggah sama sekali dengan Islam. Dalam mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) ke-41 yang akan diadakan sehingga 24 Julai ini, delegasi Malaysia akan diketuai Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan beliau dijangka memberi penekanan kepada bentuk pengisian hak asasi manusia yang akan dimasukkan ke dalam Piagam ASEAN.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa berkata, negara-negara Timur memiliki nilai-nilai tersendiri dalam aspek menjaga hak asasi manusia dan Rais dijangka membentangkan input-input itu kepada rakan-rakan sejawatannya dalam mesyuarat AMM itu. Hak Asasi Manusia yang sebelumnya dikenali sebagai ‘hak-hak tabii’ (Natural Rights) merupakan sebuah produk pemikiran yang dominan di sekitar zaman pencerahan (renaissance) di Eropah. Ia lahir sebagai suatu penentangan terhadap manipulasi pihak gereja dan Raja Eropah terhadap rakyat atas nama hak ketuhanan yang ada pada raja (divine rights of the king). Sebelum zaman pencerahan Eropah, golongan gereja dan bangsawan selalu menghisap darah rakyat dan mendakwa mereka mewarisi hak dari Tuhan di mana rakyat tidak memiliki hak selain patuh kepada institusi gereja dan raja. Kemudian, disebabkan rasa tidak puas hati kerana sering ditindas semahunya oleh gereja dan golongan bangsawan, golongan cendekiawan dan kelompok-kelompok pedagang yang terpaksa membayar cukai yang tinggi kepada Institusi beraja mula bangkit. Mereka memobilisasi kelompok karyawan dan pekerja untuk mencetuskan Revolusi Perancis (1779-1789) dan dari saat inilah mereka mempopularkan idea hak asasi yang kemudiannya dijadikan slogan Revolusi Perancis. HAM kemudian dijadikan piagam dalam konstitusi Perancis yang ditetapkan tahun 1791. Sebelum itu slogan-slogan ini diangkat dalam revolusi Amerika Syarikat pada tahun 1776. Secara umum, HAM kemudian diterima pakai oleh seluruh negara Eropah pada abad ke 19, cuma pada saat itu HAM hanya menjadi urusan dalam negara masing-masing. HAM baru menjadi peraturan antarabangsa setelah Perang Dunia Kedua dan setelah berdirinya PBB, iaitu pada saat diumumkan UDHR pada tahun 1948. Kemudian, pada tahun 1961, deklarasi ini disusuli dengan Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak Sivil dan Politik (International Covenant on Civil and Political Rights). Pada tahun 1966, diumumkan pula Perjanjian Antarabangsa Tentang HAM, Ekonomi, Budaya dan Sosial. Meskipun demikian, semua ketetapan mengenai HAM tetap kekal sebagai sebuah peraturan antarabangsa dan AS baru berjaya menjadikannya sebagai undang-undang sejagat (iaitu peraturan yang tidak hanya diterima pakai oleh negara, tapi oleh individu rakyat di dalam negara) selepas tahun 1993, atau dua tahun selepas AS mendominasi PBB secara solo di peringkat antarabangsa setelah kejatuhan Sosialisme. Untuk mengukuhkan lagi HAM sebagai undang-undang dunia, AS kemudian menjadikan HAM sebagai salah satu asas strategi polisi luar negerinya. Ini terjadi pada akhir dekad 70-an pada masa kepimpinan Presiden Jimmy Carter. Sejak dari itu, Jabatan Luar Negara rejim AS selalu mengeluarkan penilaian tahunan mengenai komitmen negara-negara dunia untuk menerapkan HAM. Penilaian tahunan itu juga menilai sejauh mana negara-negara itu memberikan toleransi kepada rakyatnya untuk menjalankan HAM. HAM yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia mahupun yang diperjuangkan oleh segelintir rakyat Malaysia sesungguhnya berakar umbi dari UDHR yang telah diumumkan oleh PBB. Sebagai sebuah badan kufur dan didominasi oleh negara-negara kufur, sudah selogiknyalah UDHR/HAM itu digubal menurut pemikiran kufur mereka. Tunjang kepada HAM adalah ‘kebebasan’ dan secara amnya, empat jenis kebebasan menjadi tunggak utamanya yang mana hal ini termanifestasi dari setiap peruntukan undang-undang atau amalan yang dipraktikkan dalam mana-mana negara pun, termasuklah Malaysia. Selama mana umat Islam masih tetap membincangkan isu HAM ini, maka selama itulah bermakna umat Islam terus terjerat dengan agenda kuffar Barat ini untuk menghancurkan lagi Islam. Menurut undang-undang HAM, semua manusia adalah sama, tidak kira lelaki atau perempuan, anak sahtaraf atau anak zina. Bagi mereka lelaki dan perempuan adalah sama, tidak ada aurat yang membezakan. Mereka membolehkan anak zina mewarisi harta bapa, mereka membolehkan perkahwinan sesama wanita dan juga sesama lelaki dan banyak lagi kekejian lainnya yang mereka bawa atas nama HAM. Adapun Islam telah merincikan hak manusia dari dalam kandungan lagi di mana adanya hukum diyat ke atas janin yang dibunuh atau terbunuh. Janin mempunyai hak untuk hidup dan haram bagi ibunya melakukan pengguguran dengan sengaja. Jika si ibu sengaja menggugurkan janinnya, maka dia wajib membayar satu per sepuluh diyat dan diyat ini dibayar kepada Negara. Namun jika si suami memukul isterinya hingga menyebabkan keguguran, diyat (yang sama jumlahnya) hendaklah dibayar kepada si isteri tadi. Dari segi pemilikan harta umum pula (milkyyahl ‘ammah) seperti hasil gas, petroleum dan bahan galian lainnya, janin mempunyai hak yang sama sebagaimana orang dewasa dan tidak boleh dikurangkan sedikit pun. Ini baru sedikit rincian hukum Islam ke atas janin, belum lagi kita membincangkan keseluruhan hukumnya dan belum masuk lagi hukum-hukum yang lain. Apakah dengan sempurnanya hukum Allah sejak lebih 1,300 tahun yang lalu (sebelum HAM diperkenalkan lagi), kita masih sanggup ingin memperjuangkan HAM? Ini baru muqaddimah HAM, yang telah pun memberi gambaran tentang kejijikan dan kebobrokan idea yang di bawa oleh HAM dan bagaimana ia bertentangan dengan Islam secara nyata, apatah lagi jika ditinjau HAM secara keseluruhan! Source: MyKhilafah.com |
Saturday, July 19, 2008
Tambah Rebat - Penyelesaian akal Kapitalis
Sidang parlimen diteruskan pada 16hb lalu dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) meminta kerajaan meningkatkan jumlah rebat tunai yang dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian bagi meringankan beban rakyat akibat kenaikan harga minyak. Ini, menurut pandangan ahli-ahli Parlimen sebagai satu penyelesaian. Adakah ia benar-benar satu penyelesaian? Perkara tersebut dibangkitkan oleh Ir. Hamim Samuri (BN-Ledang), Datuk Baharum Mohamad (BN-Sekijang), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (BN-Rompin) dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud). Menurut Hamim, polisi rebat tunai yang diperkenalkan oleh kerajaan amat baik tetapi jumlahnya tidak sesuai kerana penduduk berpendapatan rendah tidak mendapat bantuan sepenuhnya bagi menghadapi beban kenaikan harga petrol dan diesel.
Rebat sebanyak RM625 dan RM150 yang diberikan kepada pengguna kereta di bawah 2,000cc dan motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc sebagai menampung pertambahan kos minyak akibat kenaikan harga minyak mendadak baru-baru ini tidak boleh dilihat sebagai satu bentuk penyelesaian yang sebenar dan menyeluruh walaupun ia dapat meredakan sedikit kesusahan. Ini adalah kerana, kesan sampingan lain seperti kenaikan harga barang makanan, keperluan dan barang domestik lain pastinya tidak akan diberi ‘pampasan’ yang sama oleh kerajaan. Lebih menyedihkan lagi apabila melihat wakil-wakil rakyat di Parlimen membangkitkan isu ketidakcukupan jumlah rebat yang diberikan kepada pengguna kenderaan. Para perwakilan yang duduk di dalam kerusi empuk Parlimen tidak pernah berfikir di luar daripada kepompong pemikiran kapitalis. Disebabkan itulah segala penyelesaian yang diberikan tidak pernah menyelesaikan masalah. Wakil rakyat di Parlimen seharusnya melihat apakah penyelesaian kepada isu kenaikan harga minyak dari perspektif Islam. Perkara yang menjadi masalah utama bukanlah isu rebat. Rebat ini hanyalah umpama gula-gula yang diberi oleh pemerintah sahaja, untuk menutup mulut rakyat. Isu utama di sini ialah para pemerintah Kapitalis yang telah merampas harta milik rakyat (minyak) ini dan diperlakukan sedemikian rupa untuk mengkayakan mereka. Walhal menurut Islam, minyak adalah milik umat dan segala kekayaan daripada hasil minyak wajib dikembalikan kepada umat. Inilah yang sepatutnya mereka lakukan, yakni mengembalikan kekayaan milik umat ini ke tangan umat, bukannya dengan merampas harta rakyat dan menggula-gulakan rakyat dengan rebat. Walaupun Hamim percaya bantuan rebat tunai yang lebih tinggi kepada pemilik-pemilik kenderaan terutama motosikal akan memberi insentif kepada mereka untuk memperbaharui cukai jalan yang selama ini tidak diendahkan, ia sebenarnya tidak membantu umat secara keseluruhannya. Baharum pula ketika mencelah memberitahu, rebat tunai perlu ditingkatkan kepada pemilik motosikal kerana mereka adalah golongan berpendapatan rendah manakala pemilik kereta merupakan golongan berpendapatan lebih tinggi. Inilah hakikat yang dapat kita saksikan apabila yang memerintah adalah sang Kapitalis. Mereka bertengkar di Parlimen kerana masing-masing mempunyai penyelesaian yang muncul akal masing-masing, bukannya yang muncul dari Al-Quran dan Hadis. Di kala para pemimpin yang kaya-raya bertekak sesama sendiri untuk kebaikan rakyat (kononnya), rakyat jelata terus dihimpit derita dan sengsara. Source: MyKhilafah |
Sidang parlimen diteruskan pada 16hb lalu dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) meminta kerajaan meningkatkan jumlah rebat tunai yang dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian bagi meringankan beban rakyat akibat kenaikan harga minyak. Ini, menurut pandangan ahli-ahli Parlimen sebagai satu penyelesaian. Adakah ia benar-benar satu penyelesaian? Perkara tersebut dibangkitkan oleh Ir. Hamim Samuri (BN-Ledang), Datuk Baharum Mohamad (BN-Sekijang), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (BN-Rompin) dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud). Menurut Hamim, polisi rebat tunai yang diperkenalkan oleh kerajaan amat baik tetapi jumlahnya tidak sesuai kerana penduduk berpendapatan rendah tidak mendapat bantuan sepenuhnya bagi menghadapi beban kenaikan harga petrol dan diesel.