Ramadan dan Perjuangan Umat Islam Silam
DALAM menjalani ibadat puasa Ramadan, marilah kita merenung peristiwa penting dalam sejarah Islam yang berlaku pada bulan mulia ini.
Ramadan yang dianugerahkan Allah dengan pelbagai keberkatan dan ganjaran ini, turut menyaksikan pelbagai peristiwa berlaku kepada diri dan keluarga Nabi Muhammad serta masyarakat Islam untuk dijadikan iktibar.
Peristiwa itu membawa pengertian besar kepada umat Islam, terutama membabitkan peperangan yang membuktikan betapa teguhnya keimanan umat Islam terdahulu dalam menegakkan agama suci ini. Ia membawa pengajaran besar bahawa dalam melaksanakan ibadat puasa, umat Islam perlu tabah mengharungi apa saja cabaran.
Puasa bukan bulan untuk berehat-rehat, bersenang-senang atau lalai melaksanakan kewajipan sebagai umat Islam. Umat Islam diingatkan sentiasa berwaspada menghadapi ancaman musuh. Selain itu, Ramadan menyaksikan peristiwa duka kepada Rasulullah. Dalam menghadapi peristiwa itu, Baginda tabah sehingga tidak menjejaskan ibadat puasa.
Antara peristiwa berlaku pada Ramadan ialah ‘Ammul Hazan’ atau ‘tahun kedukaan’ iaitu pada Ramadan tahun ke-10 daripada kerasulan Nabi Muhammad. Bulan mulia itu menyaksikan kewafatan bapa saudara Baginda, Abu Talib, dan Ummul Mukminin Khadijah Khualid.
Pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah pula, untuk kali pertama, berlaku peperangan Badar al-Kubra antara kaum Muslimin dengan Musyrikin.
Mengikut keterangan Ibn Hisyam, Rasulullah bersama pejuang Islam berangkat dari Madinah menuju ke Badar pada 8 Ramadan dan pada 17 Ramadan berlaku peperangan Badar al-Kubra. Perang itu menjadi titik awal kebangkitan kaum Muslimin ke atas kekuatan Musyrikin dan kesesatannya. Pertempuran itu berlaku di sebuah lembah dekat kota Madinah, iaitu di Badr. Kaum Muslimin ketika itu hanya mempunyai kekuatan 300 orang dengan setiap dua orang menaiki seekor unta, berbanding dengan kekuatan golongan kafir kira-kira 1,000 orang dengan perincian 700 orang menaiki unta dan lebih 100 lagi anggota pasukan berkuda.
Ini bererti seorang Muslim berdepan dengan tiga orang musuh. Atas kekuasaan dan pertolongan Allah, peperangan itu dimenangi oleh golongan Muslimin.
Pada tahun kedua Ramadan itu juga diwajibkan zakat fitrah.
Bulan Ramadan pada tahun kelima Hijrah pula adalah bulan persediaan tentera Muslimin menghadapi peperangan Khandak, salah satu peperangan terbesar pada zaman Rasulullah. Ia berlaku pada Syawal berikutnya dengan kemenangan tentera Muslimin.
Peristiwa meruntuhkan berhala Musyrikin terbesar dan termasyhur di sekitar kota Makkah oleh angkatan Islam turut berlaku pada Ramadan tahun ketujuh Hijrah.
Pasukan tentera pimpinan Khalid ibni Walid menghancurkan patung ‘Uzza, Umar ibnu ‘Asy pula meruntuhkan patung Siswa’ dan pasukan Saad ibni Zaid al-Asyahily memusnahkan patung Mana.
Pada 21 Ramadan tahun kelapan Hijrah, Allah memberikan nikmat kepada rasul-Nya dan kaum Muslimin dengan kejayaan membuka kota Makkah. Pembebasan kota Makkah oleh golongan Muslimin menandakan satu era baru dalam Islam, selepas kaum Muslimin diseksa dan ditindas, bahkan yang terakhir dikepung oleh pasukan tentera Ahzab (sekutu) selama berminggu-minggu di Madinah.
Malahan, Rasulullah menyifatkan pembebasan Makkah itu begitu penting, melalui sabda Baginda, yang bermaksud: “Kaum Quraisy tidak akan berani lagi mendatangi (menyerang) kamu selepas tahun ini, lenyap musnah kekuatan mereka, dan mereka tidak akan memerangi kita selepas hari ini dan sekarang giliran kita akan memerangi mereka, insya-Allah.”
Nabi Muhammad menghantar Ali Abi Talib dan angkatan kaum Muslimin ke negeri Yaman pada Ramadan tahun ke-10 Hijrah dan membawa bersama surat Baginda kepada penduduk di situ.
Dalam satu hari saja, penduduk Yaman khususnya kabilah Hamdan memeluk Islam dan bersembahyang jemaah dengan Ali.
Siti Fatimah, puteri Baginda yang juga isteri kepada Saidina Ali Abi Talib dan ibu kepada Hassan dan Hussain, wafat pada Ramadan tahun ke-11 Hijrah.
Ramadan tahun ke-11 Hijrah turut menyaksikan orang Musyrikin yang tewas dalam peperangan Badar membuat persiapan untuk menuntut kembali kekalahan mereka. Beberapa kabilah mereka bersatu pada bulan itu dan pada 7 Syawal berikutnya, tercetus peperangan Uhud.
Pada Ramadan yang sama, utusan kerajaan Hummir menemui Nabi Muhammad dan memaklumkan mengenai keislaman kerajaan itu. Baginda menyambutnya dengan penuh hormat.
Rasulullah menyerahkan kepada satu catatan dan garis panduan mengenai hukum, hak dan kewajipan serta dasar daripada sejarah kemajuan dan perkembangan Islam kepada utusan itu.
Satu lagi peperangan berlaku pada Ramadan tahun ke-15 Hijrah. Dalam peperangan Qadisiah itu, orang Islam mendapat kemenangan daripada kerajaan Parsi. Kejayaan itu memberi erti cukup besar dan membolehkan bendera kedaulatan Islam berkibar di Parsi.
Tentera Islam pimpinan Umar ibnu Asy menyerang balas serangan tentera Mesir yang menyerang tentera Islam ketika bersembahyang Jumaat pada Ramadan tahun ke-19 Hijrah dan menang.
Khalifah keempat Khulafur-Rasyidin, Ali Abi Talib, ditikam curi ketika keluar dari rumahnya untuk berjamaah solat Subuh pada 15 Ramadan tahun ke-40 Hijrah dan wafat dua hari kemudian.
Pada Ramadan juga, dalam tahun ke-91 Hijrah, kaum Muslimin di bawah pimpinan Thariq bin Ziad, berjaya membuka Andalusia (Sepanyol). Peristiwa yang dikenali sebagai “Futuh Andalusia” ini begitu menyemarakkan semangat perluasan empayar Islam apabila Thariq dan tentera Muslimin, berjaya menyeberangi selat di antara Afrika dan Eropah atas perintah Musa bin Nushair penguasa Islam ketika itu.
Setelah tentera Islam menyeberangi selat berkenaan, Thariq memerintahkan agar semua kapal perang Islam dibakar, sambil berpidato dengan penuh semangat bagi merangsang jiwa angkatan Islam : “Musuh di depan kamu. Apabila kamu mundur, lautan di belakang kamu. Pilihlah yang mana lebih tinggi kehormatannya, berjuang di jalan Allah atau mati ditelan lautan.”
Ucapan Thariq membakar semangat tentera Muslimin untuk berjuang bermati-matian kerana yang ada di depan hanyalah berjuang sekuat tenaga dan mengharap pertolongan Allah. Semangat ini berjaya membolehkan satu demi satu kota musuh jatuh ke tangan kaum Muslimin dan akhirnya, Andalusia berjaya ditakluki tentera Muslimin pada Ramadan.
Sejak itu, Andalusia menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan mercu peradaban manusia yang tersohor pada zamannya, sehinggakan kemajuan teknologi yang dimiliki Eropah sekarang adalah warisan teknologi umat Islam masa silam.
Pada 584 Hijrah, Salahuddin Al-Ayyubi mengalahkan tentera Salib dan membebaskan sebahagian besar negeri yang pernah dikuasai oleh pihak Salib (Kristian).
Ketika tiba Ramadan, penasihat Salahuddin menyarankan beliau berehat kerana bimbang ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab: “Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam.” Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan Ramadan.
Pada 658 Hijrah, Kerajaan Mamalik mengalahkan dan menyekat kemaraan tentera Tartar Mongol di ‘Ain Jalut.
Peperangan ini berikutan jatuhnya Daulah Abbasiyyah, kota Baghdad yang ketika itu menjadi pusat perkembangan ilmu oleh tentera Tartar. Buku perpustakaan di Baghdad ditenggelamkan di Sungai Tigris untuk dijadikan jambatan. Dalam sejarah digambarkan betapa air Sungai Tigris ketika itu berwarna kehitam-hitaman kerana terlalu banyak dakwat larut. Demikianlah berakhirnya sebuah peradaban moden Islam di Baghdad.
Umat Islam tidak berdiam diri membiarkan orang kafir merobekkan kemuliaan Islam. Penguasa Mesir ketika itu Saifuddin Quths menggerakkan pasukan Islam menuju ke Syam untuk menghalang tentera Mongol. Dua pasukan itu akhirnya bertemu di tempat bernama ‘Ain Jalut (di Palestin). Sejarah mencatatkan pasukan Tartar ditumpaskan kaum Muslim di ‘Ain Jalut.
Selain itu, daerah Ghaal di Peranchis atau kini Pays des Gualles, juga ditakluki Islam ketika Ramadan.
Justeru, dalam kita meraikan ketibaan Ramadan, marilah kita sama-sama menghayati sejarah kegemilangan tamadun Islam, kekuatan tentera Islam berperang dalam keadaan berpuasa, tanpa sedikit pun melunturkan iman mereka.
Ramadan seharusnya menjadi titik tolak untuk kita bertambah kuat dan bersatu mempertahankan agama Islam kerana daripada sejarah, banyak kegemilangan Islam dicatatkan dalam bulan ini.
Pada Ramadan ini, selain menambah amal ibadat, umat Islam juga perlu berusaha dan bertekad untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam suatu ketika dulu. Mudah-mudahan pada Ramadan ini, umat Islam diberikan kekuatan dan keredaan Allah untuk menghadapi segala cabaran bagi mempertahan dan menjulang nama Islam di persada dunia.