Sunday, May 24, 2009

INFO: Muslim Sri Lanka

Mewakili tiga etnik iaitu Moors yang berketurunan pedagang Arab, kumpulan etnik Jawa dan Melayu yang berasal dari Indonesia dan Malaysia serta India Muslim. Setiap kumpulan itu mempunyai sejarah dan tradisi masing-masing. Masyarakat Moor adalah asalnya pedagang Arab yang yang datang pada abad kelapan dan berkahwin dengan wanita tempatan, sambil menyebarkan Islam. Mereka mewakili kumpulan majoriti penduduk Muslim Sri Lanka. Ketika penjajahan Belanda dan Inggeris, ramai penduduk Kepulauan Jawa dan Melayu dari Malaysia dihantar ke Sri Lanka dan penduduk kumpulan etnik ini mencecah kira-kira 50,000 orang ketika ini. Kumpulan lain Muslim berasal dari India dan Pakistan yang datang mencari peluang pekerjaan. Sebahagian besar berasal dari Tamil Nadu dan Kerala di selatan India.

Posted by wartawan at 01:55:33 | Permalink | No Comments »

LTTE Memusuhi ISLAM

KEMENANGAN tentera Sri Lanka mengalahkan kumpulan gerila Harimau Tamil Eelam (LTTE) Ahad lalu, tidak hanya menamatkan perang saudara yang berlanjutan lebih 25 tahun lamanya, tetapi turut mengakhiri trauma dan kesengsaraan penduduk Muslimnya. Apa tidaknya, bumi kecil yang dihuni 20 juta penduduk dengan etnik Sinhala kumpulan majoriti sebanyak 74 peratus, Tamil (18 peratus) dan Muslim (8 peratus), perang saudara itu sebenarnya tidak hanya menyaksikan pertikaian antara kerajaan dengan LTTE atau penduduk Sinhala dengan Tamil, tetapi turut sama mengheret penduduk Muslimnya.

Malangnya, derita dan kesengsaraan kira-kira 1.5 juta penduduk Muslim yang sebahagian besar bertumpu di wilayah utara dan timur yang juga kawasan konflik, serta di selatan, tidak diketahui ramai. Ketika media tempatan dan antarabangsa lebih banyak menghebahkan laporan dan gambar penduduk Tamil dan Sinhala menjadi pelarian dengan wajah sugul berjalan membawa beg atau sehelai sepinggang akibat konflik itu, sebaliknya tidak banyak kelibat penduduk Muslim dipaparkan sebagai subjek utama. Jika masyarakat dunia masih belum dapat melupakan wajah mayat pemimpin LTTE, Vellupillai Prabhakaran yang mati dalam serangan beberapa hari lalu, hakikatnya tidak ramai yang mungkin dapat mengingati atau pun tahu mengenai ribuan jenazah penduduk Muslim yang terbujur kaku di dalam rumah, masjid, sekolah serta di kaki lima akibat kekejaman LTTE yang berlaku hampir sepanjang tahun.

Hakikatnya, LTTE bukan sekadar kumpulan pemisah biasa, sebaliknya berstatus kumpulan pemberontak profesional, mempunyai kerajaan dan bala tenteranya sendiri termasuk pasukan penyerang bunuh diri menggunakan lilitan bom. Ia turut menjadi kumpulan militan pertama menggunakan wanita dalam serangan mereka, selain dikenali kerana tindakan ‘gila’ pengikutnya yang memakai rantai kapsul racun sianida bagi membolehkan mereka membunuh diri serta-merta jika tertangkap. Tidak hairanlah ia mampu melancarkan lebih 200 serangan bunuh diri dan mencetuskan perang saudara yang meragut lebih 70,000 nyawa. Operasi kejamnya turut melangkaui bumi Sri Lanka dan dikaitkan dengan pembunuhan bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 1991. Namun, mangsa sebenar dan berterusan kekejaman LTTE itu adalah penduduk Muslim yang disifatkan sebahagian usaha pembersihan etnik penduduk Islam di Sri Lanka. Kebencian yang bukan saja disebabkan perbezaan etnik dan agama, tetapi faktor perebutan wilayah di timur dan utara negara itu yang juga menjadi kubu kuat kumpulan gerila berkenaan sebelum ini.
 
Dari segi ekonomi, penduduk Muslim jauh lebih berjaya berbanding masyarakat Tamil, manakala aspek politik pula menyaksikan parti politik Muslim memegang status sebagai ‘broker’ kuasa dan penentu kerajaan yang memerintah Sri Lanka. Ini disebabkan biarpun minoriti, tetapi pecahan kerusi dimenangi parti Muslim berperanan sebagai penentu penguasaan parti politik utama di Parlimen. Kejayaan dan kelebihan itulah yang disifatkan penganalisis sebagai ramuan yang menyebabkan kebencian LTTE terhadap Muslim meluap-luap. Kemuncak kekejaman LTTE terhadap penduduk Muslim ketara pada 1990-1991 dan terbukti berterusan hingga Mac lalu. Tarikh 30 Oktober 1990 disifatkan detik hitam bagi masyarakat Muslim, apabila LTTE yang menguasai wilayah di utara, iaitu Semenanjung Jaffna, memberi kata dua kepada penduduk Muslim di situ - keluar dari kawasan itu atau dibunuh. Lebih kejam lagi, arahan itu perlu dipatuhi dalam masa 24 hingga 48 jam, seperti dilaporkan media antarabangsa. Namun hakikatnya, hampir 90,000 penduduk Muslim diusir dalam masa dua jam!

Malah kejadian itu disifatkan penganalisis tempatan, AJC Mohideen, sebagai pembersihan etnik paling cepat dalam sejarah moden dunia kerana penduduk Muslim diusir dalam masa dua jam hanya atas alasan wilayah itu adalah tanah tumpah dan milik masyarakat Tamil. Penulis sendiri yang pernah mengunjungi beberapa wilayah Sri Lanka, beberapa tahun lalu dalam lawatan anjuran kerajaan negara itu bagi melihat proses damai, berkesempatan menyelami perasaan hiba segelintir penduduk Muslim di Jaffna yang mengakui tempoh dua jam itu ibarat neraka dunia bagi mereka apabila dipaksa meninggalkan harta benda sambil kepala diacukan senjata api dan parang oleh anggota LTTE.

Imam Masjid Jamek Jaffna ketika itu, Abdullah Marlim, turut menitiskan air mata menceritakan bagaimana ramai keluarga Muslim terpisah, anak kecil menjadi yatim piatu dan wanita menjadi balu serta janda dalam sekelip mata. “Masyarakat Islam dan Tamil dapat hidup aman damai di Jaffna sebelum ini. Tetapi kekejaman LTTE menghancurkan segala-galanya, keluarga porak peranda dan terpisah, masjid dimusnahkan dan harta benda kami dirampas. “Selain sehelai sepinggang, kami cuma dibenarkan membawa kira-kira 75 rupee (RM3). Kami diberi kata dua - keluar atau dibunuh. Dengan berat hati, kami melangkah keluar untuk bergelar pelarian di tanah air sendiri,” katanya. Selepas keadaan diberitakan selamat, beliau dan beberapa penduduk Muslim memberanikan diri kembali ke Jaffna beberapa bulan kemudian, tetapi disambut pandangan yang memilukan. Hanya satu daripada 13 masjid dapat digunakan akibat bedilan bom tentera LTTE dan daripada kira-kira 100,000 penduduk Muslim di Jaffna, jumlahnya cuma mencecah lebih 1,000 orang manakala lebih 50,000 masyarakat Muslim yang tidak berani kembali, terus mendiami kem pelarian sehingga ke hari ini. Terbukti kekejaman itu tidak terhenti apabila sebulan selepas itu, LTTE meneruskan kekejaman melancarkan serangan di sebuah masjid di Kathankudy. Seramai 172 Muslim yang khusyuk bersolat ketika itu, maut serta merta. Gambar pembunuhan kejam itu dengan mayat, termasuk budak lelaki yang masih lengkap mengenakan kopiah serta sejadah dipenuhi darah, bergelimpangan kaku dan terpampang di dada akhbar antarabangsa. Seperti lazimnya, reaksi masyarakat dunia hanyalah dalam bentuk kecaman yang diibaratkan ‘angin lalu’ tanpa meninggalkan kesan atau menghentikan kekejaman LTTE yang terus mengganas membunuh penduduk Muslim di kawasan jajahan mereka.

Pada 10 Mac lalu, LTTE yang tidak cukup menjadikan masjid di utara dan timur Sri Lanka sebagai sasaran utama, bertindak menyerang perarakan sempena Maulidur Rasul di Akuressa, di kawasan selatan, yang meragut 15 nyawa. Jurugambar sempat merakam peristiwa tragik dan mengerikan itu apabila barisan penduduk Muslim, berpakaian serba putih, berlatar belakang percikan letupan bom di belakang mereka. Dalangnya sudah semestinya pihak LTTE dan hanya dua perkataan yang layak menggambarkan tindakan tidak berperikemanusiaan itu - kejam dan zalim. Kini selepas tumpasnya LTTE dan kematian Prabhakaran, mungkin ada yang menganggap doa masyarakat Muslim yang selama ini sengsara, sudah pun terjawab. Namun apakah ini menjadi titik noktah kepada kesengsaraan penduduk Muslim ini?

Apakah ada sinar bahagia bagi mereka dengan diberikan hak sepatutnya untuk hidup sama sama seperti bangsa Sinhala di Sri Lanka? Apa yang pasti, setakat ini, sebahagian besar penduduk Muslim yang miskin ini masih bergelar pelarian dan hanya masa menentukan sama ada mereka dapat kembali ke rumah masing-masing dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Apakah mungkin peranan mereka sebagai penyumbang ekonomi dan penentu kuasa politik, mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada kerajaan pimpinan Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapakse. Namun lebih penting, masyarakat serta pertubuhan Islam antarabangsa perlu sama-sama menjadi pihak pemantau bagi memastikan penduduk Muslim Sri Lanka tidak lagi menjadi mangsa di tanah air sendiri selepas berkuburnya LTTE.

Posted by wartawan at 01:46:19 | Permalink | No Comments »

Wednesday, May 13, 2009

Dunia Sebagai Medan Ujian

Artikel ni diolah ketika mana wartawan sedang menjaga dewan peperiksaan. Dalam Suasana peperiksaan, para pelajar amat fokus dan tekun di dalam ‘memuntahkan’ semula apa yang telah mereka pelajari. Dengan satu tujuan,.. Mencapai kecemerlangan atau sekurang-kurangnya lulus dalan peperiksaan.

Begitulah sebenarnya andai boleh dibandingkan dengan kehidupan ini. Dunia adalah medan ujian bagi manusia sebelum menghadapi kehidupan yang sebenar di akhirat kelak. Apabila berbicara mengenai kehidupan wartawan akan bertanya kepada pembaca, ” Berapa kalikah kita hidup” dan jawapan yang selalu kita dengar,  ” Kita hidup hanya sekali” .  Inilah yang selalu disebut: “Enjoylah beb… hidup hanya sekali”
 
Memahami hidup hanya sekali merupakan asas kesesatan umat hari ini. Kehidupan selepas mati sudah tidak ada di dalam ruang minda manusia ini. Inilah minda jahiliyyah yang bertanya kepada nabi s.a.w.: ” Apakah apabila manusia mati dan sudah menjadi tulang belulang masih boleh dibangkitkan?” Mereka menganggap kehidupan hanyalah kehidupan di dunia. Kepercayaan sesat ini pula bertunjangkan kepada ketidakyakinan kepada Allah sebagai al-Rab, al-Malik dan al- Ilah. Tidak yakin kepada Allah kerana tidak percaya kepada al-Quran . Tidak beriman dengan kitab al-Quran kerana tidak percaya kepada nabi Muhammad s.a.w. Tidak percaya kepada nabi s.a.w. ialah keranana kejahilah disebabkan kurang ilmu atau memiliki ilmu yang salah dan wujud salah faham terhadap nabi Muhmmad s.a.w.

Kehidupan yang sebenar ialah kehidupan Akhirat. Inilah yang disampaikan kepada kita oleh nabi Muhammad s.a.w. yang terdapat di dalam al-Quran yang merupakan bicara Allah, Pencipta Alam ini, Pemilik Mutlaknya, Pengatur semua undang-undang dan sistem dan Ilah yang wajib disembah, ditaati dan dikasihi. Dunia adalah sebuah perhentian dalam perjalanan menuju akhirat Dunia adalah tempat manusia diuji dan akhirat tempat perhitungan dan pembalasan Dunia negeri beramal dan akhirat negeri menerima balasan Dunia tempat berjihad dan bersusah payah manakala akhirat tempat istirehat bagi manusia yang beriman dan lulus ujian Allah.

Manusia diturunkan kedunia memikul amanah, memikul tanggungjawab, membawa misi Allah dan akan dimatikan seterusnya dikembalikan kepda Allah untuk diberi pembalasan. Dunia adalah tempat perjuangan, melawan nafsu, melawan iblis, melawan tarikan dunia, melawan fitnah kuffar dan bersabar terhadap hasad dengki orang-orang fasik. Ujian bermula sejak di alam nutfah, berjuta-juta benih  sudah mati sebelum berjaya menembusi sebutir telur untuk memulakan sebuah kehidupan. Kehidupan di alam rahim memberi bebanan, keperitan, kesengsaraan hidup seorang ibu yang bakal melahirkan seorang khalifah adalah satu kepayahan, kepayahan hidup diusia bayi, karenah zaman kanak-kanak, zaman remaja dan ujian tanggungjawan diusia remaja, meniti umur di usia tua dan kembali kepada Allah membawa dosa membawa reda. Ibu bapa yang berjaya menyediakan bayi-bayi ini untuk memikul bebenanan khalifah telah dijamin oleh Rasulullah s.a.w. sebagai ahli syurga. Itulah erti kehidupan ini ; ia hanya medan ujian Allah untuk memilih ahli syurga atau neraka.
 
Kehidupan ini penuh misteri, kejahilan, kegelapan, kezaliman hingga pada diri sendiri tetapi Allah yang mencipta kehidupan ini telah mengajar ilmu, menerangi hidup dengan cahaya hidayah. mehapuskan kezaliman dengan mengajar hakikat Tauhid kepda Allah dan menceritakan hakikat kehidupan sebenar.. Namun hingga kini masih ramai manusia masih kabur, gelap, tidak mengerti, tidak memahami, tidak tersedar, terlena, terleka, diheret taufan nafsu, ditipu fatamorgana dunia dan merasa cukup beramal untuk diri sendiri…

Posted by wartawan at 06:57:54 | Permalink | No Comments »

Monday, May 11, 2009

Bagaimana Mencintai Rasulullah saw

Berikut adalah teks kuliah maghrib wartawan kat sekolah;

Mencintai Nabi Muhammad s.a.w itu adalah satu prinsip agama yang sangat penting. Seseorang tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya)…” (Surah al-Taubah: 24)

Rasulullah s.a.w berhak meraih cinta itu kerana Baginda makhluk paling mulia di sisi Allah, memiliki akhlak yang luhur, mengasihi umatnya, memberi petunjuk dan menyelamatkan umatnya dari neraka, malah menjadi rahmat kepada seluruh alam. Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w memiliki ciri tertentu. Berikut adalah tanda yang membuktikan perasaan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w:

Mentauhidkan Allah -
Hikmah utama diutusnya rasul termasuk Nabi Muhammad s.a.w adalah untuk menyeru manusia kembali kepada tauhid yang murni dan menentang syirik. “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi Taghut.” (Surah al-Nahl: 36)

Maksud mentauhidkan Allah ialah beribadat hanya kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu. Mempelajari al-Quran, memahaminya, mengamalnya dan menyebarkan ajarannya - Mukjizat yang paling utama bagi Rasulullah s.a.w ialah al-Quran al-Karim, iaitu aset utama baginya dalam menyebarkan Islam. Ibnu Mas’ud berkata: “Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya, kecuali al-Quran. Apabila dia mencintai al-Quran, maka dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.” (Huquq al-Nabi)

Mentaati sunnah Nabi s.a.w - Satu lagi tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi s.a.w ialah dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya. Ini kerana Allah memberi jaminan yang Baginda adalah insan terbaik untuk dijadikan contoh ikutan bagi umat manusia. “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu…” (Surah al-Ahzab: 21)

Menyebarkan sunnah Nabi s.a.w - Sabda Baginda s.a.w, maksudnya: “Kamu semua hendaklah sampaikan apa yang diambil daripadaku walau satu ayat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sentiasa memuji dan mengingatinya - Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w, seharusnya baginda sentiasa berada di hati kita. Kita juga sepatutnya memuji Nabi s.a.w dengan pujian yang selayak baginya. Pujian yang paling utama adalah dengan berselawat kepadanya dengan selawat yang terdapat dalam hadis yang sabit daripada Baginda. Mencintai mereka yang dicintai oleh Nabi s.a.w - “Janganlah kamu semua mencaci salah seorang sahabatku. Ini kerana, sekiranya salah seorang di kalangan kamu menafkahkan emas sebesar gunung Uhud, semua itu tidak mampu menyamai satu mud (yang diinfakkan) salah seorang antara mereka malah tidak mencapai separuh.” (Hadis riwayat Muslim)

Benci orang dibenci Nabi s.a.w - Hendaklah kita membenci dan menjauhkan diri dari mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya seperti golongan yang kufur kepada agama Allah dan mereka yang bergelumang dengan perbuatan bertentangan syarak. Membela Nabi s.a.w dari serangan golongan munafik - “Sesiapa yang membela kami dari gangguan orang-orang musyrik dia akan mendapat balasan syurga atau menjadi temanku di syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

Posted by wartawan at 12:38:46 | Permalink | No Comments »