Gelombang Media Massa Baru
Gelombang media massa telah melanda negara sehingga dikatakan perubahan politik negara yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) baru-baru ini adalah disebabkan oleh gelombang media baru yang melanda rakyat khasnya golongan belia. Secara sedar ataupun tidak, gelombang yang dihidangkan menerusi internet ini secara beransur-ansur sedang membentuk sikap, pandangan dan budaya baru dikalangan masyarakat.
Jika dahulu, media massa melihat seorang wartawan mewakili keseluruhan pendapat masyarakat tetapi menerusi gelombang baru ini, setiap perbezaan dan ‘suara kecil’ masyarakat akan disuarakan terus-menerus tanpa wujud sebarang sempadan.
Seperti kebenaran yang dilontarkan majalah Business Week, “Teruskan dan bencilah terhadap blog, tetapi anda tidak berupaya untuk menidakkannya kerana ia adalah sumber maklumat yang terkini semenjak internet itu sendiri dan ia akan terus-menerus membongkar dan memporak-perandakan segala-galanya termasuk diri anda.”
Fenomena politik negara dewasa ini memperlihatkan penggunaan blog dan e-mail telah berjaya mempengaruhi pandangan masyarakat. Ia bukan sahaja digunakan sebagai penyebar wadah dan pegangan seseorang individu, tetapi juga telah menjadi medium berkesan sebagai penghubung antara pemimpin atau ahli politik dan masyarakat sasaran. Mereka bebas menyatakan pendapat dan pegangan perjuangan mereka dengan cara lebih ‘bebas’ dan telus menerusi pendekatan mengikut pilihan dan kesesuaian perjuangan yang dikendong.
Ketika media massa menjadi ‘hak milik’ sekelompok kecil golongan elit politik, gelombang media massa baru ini menjadi medium paling berkesan bagi menyebarluaskan gagasan yang dimiliki. Internet menjadi media efektif bagi kelompok ini memandangkan sifatnya bebas dari segi ruang dan waktu tanpa diganggu dan dipengaruhi keadaan sekeliling.
Gelombang media massa seperti blog dan internet ini merupakan suatu medium penyebaran maklumat dan medium berkempen yang berkesan. Menurut Laporan Bivings ke atas hasil kajian penggunaan internet sebagai alat berkempen pilihan raya di Sepanyol pada tahun 2006 mendapati 95 peratus calon menggunakan internet sebagai medium berkempen meningkat daripada 55 peratus bagi tahun 2002.
Melihat kepada kepentingan dan pengaruhnya yang meluas dan tidak dapat disangkal, terdapat desakan daripada Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) supaya mengiktiraf kewujudan internet dan blog sebagai media baru bagi penyebaran maklumat.
Hujahnya, fenomena mendapatkan maklumat menerusi Internet memberi kesan yang amat besar dan ini menjadi sumber maklumat alternatif isu-isu semasa yang menyentuh masyarakat di negara ini selain turut mempengaruhi media arus perdana dan mengubah dunia kewartawanan pada masa kini.
Terdapat juga kajian mendapati wartawan juga turut menerima perubahan ini dengan sebahagian besarnya menyatakan mereka lebih gemar menulis blog kerana menerusinya mereka dapat menerima maklum balas daripada pembaca terhadap berita yang ditulis. Jika media massa masih lagi terikat dengan kod etika kewartawanan dan undang-undang tertentu, gelombang media baru ini terlepas daripada hal sedemikian. Dikatakan sehingga kini daripada sembilan juta blog yang wujud kini, 40 blog baru akan muncul setiap hari.
Sifatnya yang interaktif ini memungkinkan sesiapa sahaja yang memasuki dunia gelombang media baru ini memberikan pandangan dan pendapat mereka berhubung sesuatu isu yang diperbincangkan. Interaksi pro dan kontra, tambahan maklumat dan fakta-fakta baru kemudiannya terkandung membesar dan menyemarakkan lagi komuniti laman sesawang atau blog itu.
Benarlah seperti yang dikatakan Ketua Eksekutif Google Inc., Eric Schmidt dalam tulisannya di akhbar tabloid Sun, dunia talian menambah kuasa orang kebanyakan dengan keupayaan untuk mencabar kerajaan, pihak media dan perniagaan. Ia juga mengurangkan jurang sedia ada antara masyarakat dan maklumat, membolehkan akses lebih terbuka untuk pengetahuan manusia.
Di dalam senario negara kini, gelombang media baru ini berperanan membawa suara-suara alternatif yang menyamai suara kebebasan dalam setiap ulasannya. Ia bukanlah ubat mujarab untuk budaya yang sudah jenuh dengan media, tetapi mudah-mudahan ia adalah salah satu peredanya.
Source: Think Tank
PERTEMBUNGAN di antara yang hak dan batil telah berlaku sekian lama, iaitu sejak di zaman Nabi Adam a.s. sehingga zaman Nabi Muhammad saw. Pelbagai helah dan usaha telah digunakan untuk melemahkan dan memadamkan semangat para pejuang kebenaran. Godaan, rayuan, penipuan, diskriminasi dan kekerasan adalah kaedah-kaedah yang digunakan oleh musuh-musuh Islam serta pihak-pihak yang membenci Islam. Ini kerana mereka sedar bahawa Islam sebagai ideologi merupakan suatu ancaman kepada kewujudan sistem kufur hari ini. Namun Rasulullah saw. dan para sahabatnya tetap bersemangat dan tidak pernah berputus asa dalam memperjuangkan Islam, meskipun terpaksa mengorbankan segala-galanya dalam menghadapi realiti seumpama ini. Perkara ini sememangnya telah lama diakui oleh barat; sebagai contohnya seorang tokoh misionaris kristian, Kardinal Lavie Garry, pernah berkata “Tanpa diragukan lagi, agama yang paling kuat dan tidak boleh dikalahkan adalah agama Islam. Oleh kerana itu, para misionaris berharap agar seluruh kaum Muslim menjadi Kristian.” Raymond Lull, orang Kristian pertama yang mengumandangkan kristianisasi setelah mengalami di dalam Perang Salib menyatakan, “cara untuk menakluk Dunia Islam bukanlah dengan kekuatan senjata atau kekerasan, melainkan dengan ucapan, logik, dan kasih”.